Oct 10, 2019 - FAS
Nama saya Norasrudin Sulaiman. Saya berasal daripada Temerloh, Pahang dan kini berusia 45 tahun. Kini saya bekerja di UiTM sebagai pensyarah di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi dalam bidang Performance Analysis.
Di peringkat awal, saya merasakan bahawa saya sememangnya dilahirkan untuk menjadi pengajar atau cikgu. Namun lama kelamaan, semasa di kelas, kepuasan kendiri semakin berkurangan. Saya hanya menghabiskan masa dengan membaca buku sahaja dan tiada banyak peluang untuk mengamalkan pengetahuan saya secara praktikal.
Sejak itu, saya membuat keputusan untuk mengambil inisiatif sendiri dan menawarkan khidmat pengenalisa kepada pasukan ragbi kebangsaan pada tahun 2010. Pada masa itu pasukan ragbi mempunyai kejohanan Asia di Korea. Alhamdulillah, pasukan Malaysia telah mendapat tempat ke-3. Selepas itu, ramai mula mengenali fungsi pengenalisa ini. Banyak tawaran yang diterima untuk menggunakan khidmat pengenalisa ini tetapi kerjaya ini baharu lagi, maka tiada pembayaran secara tetap yang diterima. Saya melakukan kerja ini kerana minat dan saya memberi peluang kepada pelajar saya di UiTM untuk memberi pengalaman kepada mereka secara “hands-on”.
Selepas bersama pasukan ragbi Malaysia dan semasa #Misi33 Selangor bawah kendalian jurulatih Mehmet, saya juga bersama dengan pasukan kebangsaan untuk World Univeristy Game di Taipei, China. Kemudian, saya bekerja dengan pasukan Felda bersama jurulatih Satiananthan dan tahun ini kembali bersama Selangor.
Logiknya, semua perkara boleh dibaca. Tetapi pengaplikasian adalah berbeza mengikut iklim pasukan yang berbeza. Andai pasukan tidak mampu mencapai matlamat yang ditetapkan, menjadi tanggungjawab saya untuk mengenal pasti kekurangan yang ada. Perkara inilah antara yang membimbangkan untuk seorang penganalisa macam saya.
Penganalisa perlu menonton video, mencari punca sesuatu masalah itu berlaku. Dalam pasukan Selangor, saya dah mula tunjukkan kepada pemain video tentang pasukan lawan supaya mereka dapat melihat sendiri apa yang mereka perlu ketahui dan apa yang mereka perlu lakukan atau perbaiki.
Saya sebenarnya sudah lama impikan untuk bekerja semula bersama pasukan Selangor kerana tradisi dan kegemilangan pasukan Selangor itu sendiri. Kini, saya berkerja sepenuh masa sebagai penganalisa. Alhamdulillah, UiTM beri kebenaran untuk saya laksanakan industry attachement di FA Selangor. Saya sudah bersama 2 pasukan Selangor yang berbeza. Pada tahun 2015, saya diberi peluang untuk bersama menjayakan Misi 33. Itu merupakan kenangan manis saya sebagai seorang penganalisa. Secara tidak langsung saya juga terlibat dengan pasukan Perak untuk Piala Malaysia sebelum ini.
Pada pandangan saya kelebihan Selangor adalah kita mempunyai pemain yang mampu mengendalikan bola apabila dalam permainan. Peningkatan akan dapat dilihat dari perlawanan demi perlawanan tetapi kita tetap mengharapkan dan memerlukan sokongan daripada penyokong untuk memberikan kata-kata semangat kepada pemain-pemain. Walaupun pemain dinasihatkan untuk tidak melihat komen di media sosial tetapi kritikan membina itu inshaaAllah akan membantu. Saya tahu Selangor sebuah pasukan yang besar tetapi bagi masa untuk kita perbaiki satu persatu kelemahan atau kesilapan yang ada.
Penganalisis prestasi ini tidak semestinya meningkatkan corak permainan. Kadang kala tidak semestinya semua yang dirancang menjadi. Ianya bergantung kepada setiap individu dalam pasukan. Saya telah berkhidmat dengan beberapa pasukan. Ada sahaja pasukan yang jurulatih mereka tidak menggunakan analisa data.
Alhamdulillah, di Selangor ketua jurulatih, Satiananthan sangat menghargai analisa video yang disediakan. Tugas saya adalah selepas 10 minit perlawanan, video perlu siap untuk jurulatih. Ini kerana dia yang akan melihat video itu untuk kaji tahap permainan pasukan.
Untuk menjadi seorang penganalisa tidak perlu pengalaman bermain bola pun sebenarnya, tetapi ada kelebihan untuk mudah memberi penerangan kepada jurulatih. Misalnya jurulatih cakap “attacking third”, kita tahu tempatnya dekat mana sebab kita bekas pemain.
Ya, saya memang pernah bermain bola sepak. Semasa kecil, saya mewakili pasukan Pahang bawah 15 tahun dalam kejohanan Piala Milo, dan seterusnya mewakili Pahang untuk bawah 16 dan 18 tahun.
Semasa sekolah saya bukanlah pelajar cemerlang namun saya tidak pula berada dalam kelompok akhir. Saya membuat keputusan untuk tidak menyambung pengajian kerana minat yang serius dalam kerjaya bola sepak pada masa itu. Namun, Allah itu adil, ditakdirkan saya dilanda kecederaan semasa bermain ragbi untuk pasukan sekolah semasa off-season bola sepak. Saya ingat lagi pada masa itu di Kuala Lumpur, saya di-tackle dan mengalami kecedaran serius dilutut. Pada awalnya saya fikirkan ia sakit biasa sahaja tetapi makin lama menjadi makin sakit. Dari situlah saya mula sedar kerjaya bola sepak saya sudah berakhir sebelum ia sempat bermula.
Tetapi minat saya yang mendalam terhadap sukan telah mendorong saya untuk terus berusaha dalam bidang ini dengan melanjutkan pelajaran saya dan Alhamdulillah, akhirnya saya mampu bersyukur dengan apa saya telah capai hari ini.
Saya merupakan analyst pertama yang mempunyai International Society of Performance Analysis of Sport (ISPAS) di Malaysia dan saya tak anggap itu satu perkara luar biasa kerana pada masa itu tiada peperiksaan untuk menjadi penganalisa cumanya sijil diberi mengikut tugas yang saya lakukan. Kebanyakkan analyst di Malaysia ini merupakan produk UiTM dari Fakulti Sains Sukan.
Nasihat saya untuk sesiapa yang ingin menceburi bidang ini, kita perlu tahu apa yang kita belajar di buku itu adalah “tip of iceberg” sahaja. Seorang penganalisa perlu kreatif kerana setiap pasukan berbeza keperluannya. Andai kita mengikut buku sahaja maksudnya kita tidak membantu pasukan kerana objektif utama penganalisis prestasi adalah untuk meningkatkan prestasi pasukan.
"Dalam menyediakan resepi, tiada resepi yang sama, kalau tidak semua orang boleh jadi juara Piala Malaysia."